Thursday, April 30, 2009

Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.


Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"


"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.


Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.

Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.



"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.

Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.


"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Syazni.


***************



Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!

Jika dirimu bakal seorang isteri…

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri \mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…


Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.


Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…


Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!




Sumber : penditamuda.blogspot.com

Empat Isteriku

Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedagang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu ! saja tidak!" jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi.

Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya. Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?". Isteri ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?" Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku...aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu." Jawapan itu seperti kilat yang menyambar.

Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu.

Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku."

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;






ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburla mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita di akhirat kelak. Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak.

Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!...

Bersyukur Apa Yang Ada

Mata saya tidak berkedip memandang ke wajah anak sulung kesayangan. Saya menoleh pula ke almari cermin di hadapannya. Menggeleng kepala saya seketika.

" Muka Kak Long dah putihkan Ummi, " kata Kak long melihat saya terpaku memandangnya dari tadi.

" Kenapa pakai bedak banyak sangat ni, sayang ?" saya melemparkan pertanyaan. Hairan dengan lakunya malam ini. Berbedak hingga sampai ke baju dan seluar. Putih bertompok sana sini.

" Kak Long nak putih macam Kak Ngah, " Kak Long menjawab sambil mula menunjukkan muka masam. Belas pula saya melihatnya.

Baru saya teringat kata-kata Kak Imah yang berkunjung ke rumah siang tadi. Rupa-rupanya Kak Long terdengar perbualan kami.

" Husna lain sikit kulitnya dari Najwa ye, Ina" Kak Imah berkata memandang ke arah anak-anak yang sedang leka bermain di halaman rumah.

" Seorang ikut ayah, seorang ikut Umminya, " saya menjawab dengan senyum kelat. Bimbang Kak Long mendengar. Pasti dia terasa hati nanti. Sensitif sungguh dia bila orang menyebut warna kulitnya.


WANITA DAN WARNA KULIT

Betapa dunia hari ini. Seorang anak kecil juga sudah tahu menilai kecantikan rupa. Baginya putih itu cantik pada pandangan mata. Fikiran yang dicorak oleh penilaian manusia dewasa kaum wanita terutamanya. Semakin putih, semakin banyak mata yang menoleh.

Ironinya, di luar negara khususnya di UK ini, ramai wanita terutama golongan remaja kulit putih yang baru menginjak dewasa berfikiran sebaliknya. Bagi mereka, berkulit gelap dan hitam lebih seksi dan memikat hati. Justeru mereka berlumba-lumba melakukan rawatan wajah dan seluruh tubuh yang dinamakan ‘sunbed' untuk menukar warna kulit dari putih ke warna coklat dan agak gelap. Dilaporkan, lebih dari 25% remaja dan golongan muda di UK menunjukkan gejala obses terhadap rawatan berisiko ini.

Saya pernah menonton satu rancangan bualbicara, Trisha Goddard Show yang banyak mengenengahkan masalah masyarakat termasuk remaja yang terlalu obses dengan kecantikan diri. Remaja jemputannya pada rancangan tersebut membelanjakan hampir GBP2000 sebulan hanya untuk rawatan kulit dan tubuh badan. Jumlah ini termasuk kos melakukan rawatan ‘sunbed' di atas. Baginya, rawatan tersebut menjadikannya kelihatan lebih menarik, lebih sihat dan seterusnya akan mendapat ketenangan diri.

Saya bimbang dan kasihan melihat wanita-wanita yang terlalu mementingkan kecantikan rupa seperti ini. Bimbang kerana jika mereka seorang selebriti, pengaruh yang dibawa bukan sedikit impaknya. Ramai wanita kini menjadikan artis dan selebriti sebagai idola dalam menentukan gaya dan penampilan mereka. Kasihan, lantaran kecantikan yang mereka tonjolkan adalah cantik palsu yang hanya membawa kepada kemurkaan Allah SWT.

Bagi wanita yang dihinggapi ‘penyakit' ingin sentiasa cantik ini, apa yang telah dimiliki bagaikan tidak mencukupi dan ada sahaja yang tidak kena dengan kemahuan jiwa. Mereka kurang yakin dengan penampilan biasa-biasa. Oleh kerana itu, ramai di kalangan mereka berlumba-lumba melakukan rawatan mencantikkan tubuh dan rupa. Cuma bezanya, yang putih ingin lebih gelap dan gelap pula mengimpikan kulit putih menawan. Cetusan keinginan yang sama walau berlainan warna dan rupa.


SYUKURI KESEMPURNAAN

" Eee..tengok muka orang tu Ummi, sebelah mukanya tak ada" Kak Ngah tiba-tiba menjerit. Mungkin terkejut dengan gambar yang dilihatnya di kaca televisyen. Saya dan suami saling berbalas pandang. Kak Long yang asyik menggunakan komputer juga menerpa ke ruang depan mendengar jeritan Kak Ngah.

Ketika itu kami sedang menonton rancangan bercorak dokumentari, The extraordinary People yang memaparkan wajah dan rupa tubuh manusia yang luarbiasa dari yang biasa wujud di dunia ini. Dan kali ini, wajah lelaki di hadapan kami rongak sebelah dengan mata kanan yang lebih kecil, tanpa hidung dan mulut yang rebeh sebahagian besarnya. Wajahnya memang cukup menggerunkan bagi anak kecil yang melihat.

Lelaki itu berasal dari kawasan pedalaman negara China. Kedudukan kampung halamannya yang jauh terpencil menyebabkan dia hidup beberapa tahun dengan wajah yang rosak teruk selepas diserang seekor beruang hutan. Dia kemudiannya dibawa ke hospital di tengah kotaraya untuk menerima rawatan membaikpulih wajah dengan kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh pihak hospital. Saya, suami dan anak-anak melihat dengan rasa penuh keinsafan.

"Sebab itu kita yang ada wajah yang sempurna ini perlu selalu bersyukur. Allah mencipta manusia sebagai sebaik-baik makhluk di muka bumi. Semua sama sahaja. Ada mata, hidung, mulut, telinga dan anggota lainnya. Jadi kena selalu ucap Alhamdulillah," kata suami saya menasihatkan anak-anak sebaik selesai menonton.

" Tak boleh banyak komen tentang warna kulit lagi, " saya mencelah dengan nada bergurau. Mata saya memandang Kak Long yang hanya tersengih malu.

" Kulit Kak Long putih juga sebab Kak Long ikut Ummi. Cuba Kak Long tengok, samakan ?" saya menambah lalu memegang tangannya di atas tangan saya. Kami berdua memang memiliki warna kulit yang sama. Bibir Kak Long mula mengorak senyum biasa.

" Tapi kulit Kak Ngah, Khalil, Solehah dan ayah lebih putih dari kita, " bidas Kak Long masih belum puas hati.

" Putih lebih sikit je. Tapi muka Kak Long muka ayah, tahu tak. Kak ngah pula lebih hampir dengan muka Ummi. Itu tandanya baik Kak Long mahu pun Kak Ngah, kedua-duanya anak-anak Ummi dan ayah yang tiada bezanya," kata saya lagi sambil menjeling manja kepada suami. Kak Long dan Kak Ngah ketawa kecil mendengar celoteh Ummi mereka.


MENGUBAH CIPTAAN

Tiada yang kurang dari ciptaan Allah yang Maha Berkuasa. Tinggal lagi manusia yang tidak pernah merasa cukup dengan segala kurniaannya. Selagi belum menutup mata, selama itulah nafsu sentiasa meniupkan keinginan untuk meraih perhatian manusia. Bagi wanita yang dihinggapi ‘penyakit hati' seumpama ini, merasakan kulit yang mulus, masih belum mampu membahagiakan kerana warnanya yang tidak seputih salju. Lalu ribuan ringgit dibelanjakan. Berbagai rawatan kecantikan dicuba tanpa mengira halal dan haram menurut syari'at agama. Semua itu dilakukan hanya untuk mencapai impian memiliki warna kulit idaman hati agar lebih menawan pada pandangan manusia lainnya. Seolah-olah kejadian Allah menjadikan warna kulit yang gelap tidak tepat dan sangat hodoh pada pandangan mata.

Soal mengubah warna kulit bukan soal ranting yang boleh dikesampingkan dari diperkatakan oleh golongan agamawan. Ini kerana ia melibatkan persoalan akidah, lantaran kejahilan diri. Allah SWT menghebahkan tipudaya syaitan menerusi kalamNya yang bermaksud :

Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan (dengan menyembah berhala itu) mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka, yang dilaknati Allah dan syaitan itu mengatakan, ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-hamba- Mu, bahagian yang sudah ditentukan (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak) lalu mereka benar-benar memotong telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka (merubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka merubahnya.' Barang siapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata." (an-Nisa': ayat 117 - 119)

Walaubagaimanapun, perlu difahami bahawa Islam mengharuskan rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya seperti menggunakan ubat-ubatan untuk membuang jeragat atau jerawat yang merosakkan kulit wajah dan seumpamanya dan bukan dengan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit.


BERSYUKUR APA YANG ADA





Tidak ada yang kekal, urusan dunia yang sementara. Bersyukurlah!



Sememangnya wanita sangat teruji dengan warna kulit kurniaan Ilahi. Hanya mereka yang bersyukur sahaja mampu menerima dengan senang hati. Justeru, hati dan minda perlu sentiasa disuburkan dengan sifat redha terhadap apa-apa yang dimiliki hari ini. Gembira terpancar indah menyerikan seri rupa, tanda seseorang itu mensyukuri segala nikmat yang diterimanya. Kesyukuran yang akan lebih melorongkannya untuk terus beribadah, mengabdikan diri sebagai hamba yang Esa. Firman Allah SWT yang bermaksud :

Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih. (Ibrahim : ayat 7)

Akhirnya, bersyukurlah dengan kesyukuran yang bukan sekadar terlafaz oleh lisan, tetapi hidupkan syukur dengan meningkatkan rasa yakin, prasangka baik dan rasa terima kasih yang tidak berpenghujung kepada Allah. Sedarilah, sesungguhnya DIA telah, sedang dan selalu memberi lebih banyak dari apa yang telah dan mampu kita berikan kepada Nya.

Dan Dia (Allah) Telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim lagi sangat mengingkari (kufur nikmat). (Ibrahim: ayat 34)



Benarlah..benarlah..

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Hidup Sesudah Mati


Alhamdulillah baru-baru ini, saya menamatkan sebuah cycle subjek yang amat menarik minat saya, iaitu subjek Operative Surgery. Subjek ini secara ringkasnya mengajar kami untuk melakukan prosedur-prosedur pembedahan, bermula dari sekecil-kecil incision, hinggalah ke suture. Saya, yang mempunyai minat yang mendalam mengenai bidang surgeri ini, pastinya amat-amat seronok sepanjang cycle ini! Dan pengalaman yang baru juga saya dapati, sepanjang cycle ini, iaitu pengalaman beroperasi di bilik mayat (morgue).

Boleh dikatakan hampir setiap hari jugalah kami berkunjung ke bilik mayat yang terletak lebih kurang 500 meter dari hostel ini. Untuk apa? Tentulah untuk mempraktiskan prosedur-prosedur surgeri yang kami pelajari. Kunjungan saya ke rumah mayat tersebut sepanjang minggu lalu, banyak meninggalkan kesan kepada diri saya. Bukanlah kesan seperti tak lena tidur malam ataupun ternampak benda bukan-bukan,sebaliknya ia membuat saya banyak berfikir. Mungkin kerana Russia dahulunya negara komunis, fahaman yang menentang kepercayaan terhadap Tuhan, justeru mereka kurang mempunyai sensitiviti dan tuntutan keagamaan dalam berurusan dengan mayat.

Suasana di rumah mayat tersebut, sangatlah menyentuh perasaan saya. Mayat-mayat dibiarkan bergelimpangan, ada yang separuh terbuka badannya (akibat autopsi), dengan tidak ditutup aurat. Mungkin itu kebiasaan bagi mereka agaknya, manusia yang telah mati tiada lagi nilai kemanusiaan keatasnya. Ini berlainan sekali dengan apa yang diajar dalam Islam. Dalam Islam, banyak diberi panduan untuk berurusan dengan mayat. Dari seringkas-ringkas adab seperti menutup aurat mayat, sehinggalah sekeras-keras amaran seperti..

“Mematahkan tulang mayat itu seperti mematahkan tulang orang yang hidup” - [Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dari A'isyah sebagaimana yg disebut didalam Al-Jami' Al-Saghir]

Tetapi bukan adab-adab berurusan dengan jenazah yang ingin saya bicarakan. Saya pasti kita semua dah lulus ujian KAFA Bab Pengurusan Jenazah ketika SPM dulu kan? Namun yang paling membuatkan saya terfikir, dan ingin saya ajak anda semua berfikir juga. Bagaimana agaknya keadaan kita setelah kita meninggal kelak? Adakah ada orang akan kisah mengenai kita? Apa yang kita boleh bawa bersama? Kita hanya tak lain tak bukan, sekadar sekujur tubuh!Tiada lagi pakaian Zara, NewYorkers mahupun Adidas atau Nike yang membaluti tubuh. Tiada lagi suara lunak merdu yang selalu kita keluarkan ketika bergelak ketawa bersama rakan-rakan. Tiada lagi tubuh badan yang sihat berkejar-kejaran berebut bola.


Sekadar sekujur tubuh, tiada bezanya kau dan aku. Maka kenapa perlu kita banggakan dengan apa yang kita ada sekarang, sedangkan masih wujud keberangkalian pada esok harinya kita hanyalah akan tinggal sekadar sekujur tubuh yang kaku? Rasulullah berpesan, mafhumnya, setelah terpisah roh dan jasad seorang Muslim itu, maka terputuslah sudah semua amalannya di dunia. Dia tidak lagi akan dapat berbuat pahala. Tiada lagi dipertanggungjawabkan atas dosa. Kecuali, beberapa perkara.

Pertamanya, sedekah jariah. Bermaksud sedekah yang membawa manfaat yang berterusan selagi mana apa yang disedekahkan itu digunakan. Seperti sedekah kepada masjid, surau dan sebagainya. Kedua, ilmu yang bermanfaat serta doa dari anak yang soleh. Namun ada satu lagi hadis yang penting juga, mengenai “masa depan” kita: Imam Ahmad, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa memulakan jalan yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan juga pahala orang yang beramal dengannya selepasnya tanpa dikurangi daripada pahala mereka sedikitpun juga, dan barangsiapa memulakan jalan yang buruk dalam Islam, maka atasnya dosanya dan juga dosa orang yang beramal dengannya tanpa dikurangi daripada dosa mereka sedikitpun juga”.

Siapa anda sesudah anda? “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Satu lagi persoalan yang bermain di minda saya sepanjang berurusan dengan mayat - “Agaknya setelah aku mati nanti, orang akan ingat aku sebagai siapa?” Secara ringkasnya, bolehlah anda fahami, "Apakah yang orang akan ingat mengenai anda setelah anda pergi nanti?". Persoalan yang hypothetical, tetapi membawa minda ke satu lagi persoalan iaitu “Adakah pentingnya anda kepada dunia atau masyarakat sekeliling anda?”.

Teringat saya akan sebuah kisah yang Ustaz Hasrizal ceritakan dalam salah satu ceramah beliau. Jika kita bertanyakan kepada seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, Apa manfaat yang boleh dibuat dari pokok kelapa kepada manusia?”, maka kanak-kanak tersebut boleh mendatangkan bermacam jawapan - batangnya dibuat titi, pelepahnya dibuat penyapu, airnya dibuat minuman dan pelbagai lagi. Sekarang mari kita tanyakan soalan yang lebih kurang serupa kepada diri kita sendiri, “Apa manfaat yang aku bawa kepada umat manusia?” .


“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” [Shahih al-Jami' no 3289 (Hasan).]


Wahai diriku sendiri, adakah kau sekadar ingin diingati sebagai seorang remaja Muslim yang sering leka dalam kehidupannya. Remaja yang hidupnya hanya untuk dirinya sendiri. Makannya untuk kenyangnya. Tidurnya untuk nyenyaknya. Apakah manfaat yang telah engkau bawa kepada rakan-rakanmu? Saudara-maramu? Umat Islam selainnya? Marilah kita sama-sama muhasabah, apakah kesan kehidupan kita kepada orang lain. Adakah kita ini pencetus kepada kemungkaran orang lain dengan mengajak rakan-rakan menghisap rokok, atau mengajak pasangan keluar dating dan sebagainya?

...Dan barangsiapa memulakan jalan yang buruk dalam Islam, maka atasnya dosanya dan juga dosa orang yang beramal dengannya tanpa dikurangi daripada dosa mereka sedikitpun juga...! Kita tak perlu menjadi seorang yang hebat untuk mendatangkan manfaat kepada orang lain. Tidak perlu bergelar seorang doktor, tidak perlu title seorang ustaz. Cukup sekadar mempamerkan sahsiah Islam, dan menjauhi perkara-perkara yang mencemarkan nama Islam, itu pun sudah cukup dikira sebagai manfaat kepada orang lain.

...Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin, dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka mema’afkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (QS. an-Nur:22)

p/s:artikel sumbmitted by Leokid, dan kepada para pembaca dan pengunjung iluvislam atas nasihat penulis sendiri,saya letakkan link ke artikel asal http://leokid.com/2009/04/16/matihidup/

Adakah Anda Faham Islam Sebagaimana Abu Jahal Faham Islam?

Adakah anda faham Islam sebagaimana Abu Jahal memahaminya? Pelik bukan, mendengarkan tajuk artikel ini.Benar,Abu Jahal dan Abu Sufyan(ketika Abu Sufyan belum menerima Islam) mungkin sekali memahami Islam lebih daripada kita ini yang telah bersyahadah dan mengaku diri ini sebagai Islam.Pelik bukan,bagaimana 2 orang tokoh penentang Islam ini boleh sahaja memahami Islam dalam konteks untuk menerimanya sehinggakan mereka menjadi penentang terawal yang amat tegar dan zalim terhadap umat Islam.Oleh itu saya bawakan dua buah kisah yang amat menarik dan mungkin sekali membuktikan betapa mereka ini memahami Islam itu.

Biarlah saya bermula dengan kisah Abu Jahal.Abu Jahal atau nama sebenarnya Amr Ibn Hisyam.Dia merupakan pemimpin arab jahiliyah yang terkenal dan digelar Abu Jahal kerana kejahilannya terhadap Islam dan kerana kejahilannya itu dia menentang. Bukanlah maksudnya atas kejahilan itu dia tidak mengetahui tetapi dia mengetahui dakwah Rasul itu,memahaminya,tetapi menentang dengan cukup tegar sekali.Dia juga digelar sebagai Abu Hakam, di mana gelaran ini membawa maksud seseorang yang memiliki kebijaksanaan (father of wisdom).Jadi bagaimana boleh kita katakan yang seseorang yang digelar sebagai 'father of wisdom' ini tidak memahami dua kalimat Arab yang mempunyai makna tiada illah selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah?

Abu Jahal merupakan seorang Arab bahkan digelar dengan gelaran abu hakam,makanya dia ini pastinya seorang yang arif dalam hal-hal bahasa sebagaimana seorang hakim memahami bahasa perundangan,tetapi mengapa tetap juga ditolak Islam itu mentah-mentah bahkan menentang
dengan penuh tegar dan dahsyat? Diceritakan suatu ketika Ar-Rasul berdakwah kepada kaum kerabatnya dengan mengajak kepada tiada illah selain Allah dan Muhammad itu Rasul Allah. Maka berdiri dengan lantangnya Abu Jahal ini dengan berkata, ' Jika itu kau bawakan kepada kami wahai Muhammad , maka kau telah melancarkan perang terhadap seluruh jazirah Arab tidak kira dengan orang Arab atau bukan Arab!'.

Lihat saudaraku,seiman denganku, kenapakah kalimah yang kita lihat sebagai kalimah yang mudah ini boleh menyebabkan orang seperti Abu Jahal itu memerangi Muhammad saw.KENAPA KALIMAH YANG SERINGKALI KITA SEBUTKAN DAN LAFAZ SETIAP HARI SEPERTI TIADA APA-APA INI DI FAHAMI OLEH ABU JAHAL SEHINGGA DIA MENENTANG DENGAN PENUH TEGAR? Maka tidak kah kita terfikir APAKAH MAKSUD SYAHADAH ITU SATU PERSATU. Dari makna kesaksian, kepada maksud illah, kepada mengenal siapa itu Allah sehingga kepada mengakui dan mengenal apa itu Rasul dan siapakah Muhammad itu sebagai Rasul sepertimana yang difahami oleh Abu Jahal.



Kini saya bawakan kepada kisah Abu Sufyan pula.Ibnu Abbas r.a. mengatakan bahwa Abu Sufyan bin Harb bercerita kepadanya, bahawa Heraclius ( Herclius, Raja Rumawi Timur yang memerintah tahun 610 r11; 630 M ) berkirim surat kepada Abu Sufyan menyuruh ia datang ke Syam bersama kafilah saudagar Quraisy ( Quraisy, nama suku bangsawan tinggi di negara Mekkah). Waktu itu Rasullah saw sedang dalam perjanjian damai dengan Abu Sufyan berserta orang-orang kafir Quraisy ( Perjanjian damai, iaitu Perjanjian Hudaibiyah yang dibuat tahun 6 H ). Mereka datang menghadap Heraclius di Ilia ( Ilia, yaitu Baitul Maqdis (Jerusalem) dan terus masuk ke dalam majlisnya. Dihadapi oleh pembesar-pembesar Rumawi. Kemudian Heraclius memanggil orang-orang Quraisy itu beserta jurubahasanya. Ceritanya barangkali panjang maka saya ringkaskan kepada satu perbualan sahaja . Heraclius berkata, 'Apakah yang diperintahkannya kepada kamu sekalian ?' Abu Sufyan menjawab, 'Dia menyuruh kami menyembah Allah semata-mata, dan jangan mempersekutukanNya. Tinggalkan apa yang diajarkan nenek moyangmu! Disuruhnya kami menegakan solat, berlaku jujur, sopan (teguh hati) dan mempererat persaudaraan.'

Lihat,Abu Sufyan memahami apa yang dibawa Ar Rasul,yakni kalimah syahadah itu tetapi kenapa ketika itu dia tidak mahu menerima Islam? Apa yang ada sebenarnya dalam kalimah yang kita lihat sebagai mudah itu sehingga Abu Jahal memeranginya dan kaisar Romawi begitu ingin tahu terhadapnya? Apa yang ada pada kalimah itu sehingga kedua tokoh Arab itu memahaminya dan menolaknya? Sedangkan ada yang menerimanya dengan hati terbuka seperti Abu Bakar As Siddiq dan ada yang menerimanya setelah memahaminya walaupun sebelumnya berniat membunuh Ar Rasul seperti Umar Ibn Khattab?

Kalimah syahadah itu merupakan perjanjian yang teguh antara seorang insan dengan penciptanya tanpa perantaraan manusia. Tanpa paderi yang menjadi perantara.Hubungan terus antara manusia dengan Allah.Di mana kita menerima Allah itu sebagai illah dan Muhammad itu sebagai RasulNya. Apakah illah itu sehingga kita sebutkan illah itu sebagai Tuhan? Illah itu adalah Yang diharapkan, Yang ditakuti,Yang diikuti dan Yang dicintai. Di mana sifat itu difahami dengan sebetulnya.Masalahnya kini kita telah mencipta banyak illah lain selain Allah secara kita tidak sedar.

Saya sebagai remaja ingin memberi contoh,kita punya kekasih hati(orang sarawak panggil gerek) dan kita harapkan dia,kita sayangkan dia sepenuh hati,kita ikut kehendaknya,kita takut kalau dia merajuk atau sedih dan kita cintai dia sepenuh hati kita. Bukankah kita telah menciptakan illah yang lain? Benar,kita senang katakan yang kita mencintai Allah lebih dari segalanya, lebih dari kekasih kita itu tetapi adakah iman itu hanya dibuktikan dengan kata-kata kosong sedangkan perlakuan kita tidak menunjukkan dan membuktikan apa yang kita ucapkan! Bahkan berlawanan dengan apa yang kita katakan cinta kita sepenuhnya kepada Allah.

Di mana sebenarnya kita letakkan Allah itu sebagai illah dan lebih lagi dimana kita letakkan pengertian kita bersyahadah? Bahkan dalam konteks remaja yang berkasihan dengan kaum berlainan jenisnya itu melakukan maksiat kepada Allah dalam dia berkata dia mencintai Allah lebih dari segalanya. Itu sesuatu yang sangat keji dan menyedihkan. Mungkin dalam konteks sebagai seorang dewasa,sebagai perkerja dan pembaca,anda mungkin boleh berfikir sendiri betapa kita telah mencipta sembahan dan illah selain dari Allah swt. Di manakah nilai kita ini sebagai seorang yang bersyahadah? Adakah kita bersyahadah dengan bermain-main? Ataupun kita anggap syahadah itu sebagai kata-kata kosong yang tidak ada harga dan isinya?

Lihat saudaraku,betapa sehingga Abu Jahal itu menentang Islam kerana dia tahu bilamana dia menerima Allah itu sebagai satu-satunya illah, dia perlu dan wajib menolak illah lain yang telah dia ciptakan seperti kekuasan,kekayaan dan darjat. Bilamana dia memahami maksud illah itu,dia menentang Islam bahkan melancarkan perang terhadap Islam. Sesungguhnya Abu Jahal ini benar-benar memahami kalimah syahadah itu dan memahami erti sebenar illah. Adakah kita faham Islam itu sebagaimana abu jahal memahaminya atau lebih teruk lagi? Fikirkanlah!

'Dan diantara manusia ada yang menyembah selain Allah sebagai tandingan yang mereka cintai seperti mencintai Allah.Adapun orang-orang beriman amat besar cintanya kepada Allah...' (Al-Baqarah:165)

*Didapati dari blog www.cetusanminda.wordpress.com

Siapakah Kita?



Siapakah orang yang sombong?

Orang yang sombong adalah orang yang diberi penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekalian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.

Siapakah orang yang telah mati hatinya?

Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita-cerita kebaikan namun merasa tidak ada apa-apa kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.

Siapakah orang dungu kepala otaknya?

Orang yang dungu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.

Siapakah orang yang kuat?

Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia dalam kemarahan.

Siapakah orang yang lemah?

Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.

Siapakah orang yang bakhil?

Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah SallAllahu Alaihi Wasallam.

Siapakah orang yang buta?

Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.

Siapakah orang yang tuli?

Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman Alaihissalaam.

Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia berkata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang pandai?

Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi.

Siapakah orang yang bodoh?

Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.


Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?

Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.

Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.

Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.

Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?

Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan diperluas saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?

Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?

Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

Sama-sama kita renungkan...




Sumber : www.mesra.net/forum

Wanita: Di Mana Hilangnya Malu?




SEORANG wanita melintas jalan. Dia cantik dan bergaya. Kulitnya mulus, pipinya gebu, bibirnya ‘ulas limau’, alisnya lentik, hidungnya mancung, matanya bundar dan bercahaya. Dadanya juga agak bidang. Lengannya putih jari-jemarinya halus dan runcing. Baju sendat menampakkan pusat dan skirt pendek yang disarung ke tubuh beralun sekali-sekala mengikut pergerakan tubuhnya.

Mata-mata yang melihat mula berimaginasi. Imaginasi itu sudah pasti yang indah-indah dan sudah semestinya bukan hal-hal yang baik.

Di satu sudut yang lain, seorang gadis berpakaian sopan dengan bertudung sempurna duduk di tepi taman. Di sisinya seorang lelaki sederhana tinggi yang juga berpakian sopan. Tangan mereka saling bertaut. Kadang, tangan si lelaki juga menjalari tubuh gadis. Mereka tersenyum, ketawa dan kelihatan sungguh bahagia.

Kelihatan juga sekumpulan gadis yang masih berpakaian sekolah. Ketawa berdekah-dekah, saling bertepuk tampar. Sesekali jeritan nyaring memecah suasana. Beberapa orang daripada mereka tidak bertudung. Di jari mereka terselit sebatang rokok. Mereka menghisap rokok.

Agak pedih dengan paparan itu, mata menerawang ke arah lain. Sebuah motosikal dipandu agak laju. Penunggangnya seorang lelaki muda yang lagaknya seperti mat rempit. Pemboncengnya pula seorang gadis. Gadis seksi dengan kelibat punggungnya yang separa bogel sedang erat memeluk pinggang lelaki yang sedang menunggang motosikal.

Wanita masa kini begitu liberal atau terbuka dalam banyak hal. Lihat sahaja golongan artis yang bebas berpakaian seksi dan banyak kali terlibat di dalam kancah skandal seks serta gambar dan video lucah mereka tersebar megah di dalam internet. Bukan artis sahaja, pelajar sekolah dan gadis remaja juga sering terlibat dengan penyakit sosial yang memalukan itu.

Apa hukuman untuk mereka yang terlibat dengan perbuatan memalukan itu? Ini merupakan musibah yang memudaratkan maruah wanita iaitu kehilangan rasa malu atau pudarnya sifat malu dalam diri mereka.

Di tengah–tengah masyarakat tidak kira sama ada di bandar atau desa, wanita seperti yang digambarkan di atas boleh ditemui. Kononnya dahulu, gadis atau wanita yang seksi begini hanya boleh ditonton di bandar-bandar besar.

Namun kini, pemandangan seperti itu sudah menular dan boleh dilihat di mana-mana jua.
Kampung atau bandar, desa atau pekan, sekolah, universiti, taman, pasar, pusat membeli belah dan sebagainya.

Secara realitinya, zaman dahulu fenomena wanita berpakaian seksi hanya terdapat di kelompok-kelompok tertentu dan di tempat-tempat tertentu. Malahan, hal-hal yang berkaitan ‘menconteng arang ke wajah’ juga sukar ditemui seperti kes khalwat atau zina, membuang anak, merokok, bergambar secara lucah, pelacuran dan sebagainya.

Keterbukaan masyarakat dan pendedahan tentang dunia semasa membuatkan wanita mula membuang sifat malu ke sisi yang kononnya dikatakan sifat malu itu merencatkan pembangunan sosial dan kemajuan dalam dunia wanita.

Tidak hairan, kini wanita mula dipandang sebagai golongan yang kini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Wanita mula memegang pelbagai peranan dalan masyarakat, berkerjaya, bebas melontar pendapat dan berani dalam melakukan sesuatu tindakan.

Tidak hairan juga komoditi pasaran ekonomi sebahagian besarnya untuk wanita, daripada wanita, dan mengeksploitasi wanita. Hal sebegini banyak dibincangkan bukan sahaja oleh peneliti sosiobudaya malahan golongan wanita sendiri yang mendakwa diri mereka feminis atau pejuang hak wanita.

Mereka memperkata tentang penindasan terhadap wanita, hak sama rata yang harus dinikmati oleh wanita dan pelbagai perkara lagi yang menuntut suatu keadaan di mana wanita boleh menikmati apa yang dinikmati oleh kaum lelaki. Persoalan gender sebegini tidak akan habis sampai bila-bila.

Suatu hal yang kurang diperjuang oleh golongan feminis terutama untuk wanita yang beragama Islam ialah perjuangan mengembalikan wanita kepada lumrah asalnya iaitu memelihara maruah dan melapik diri dengan sifat malu.

Istilah malu mempunyai makna dan pengertian yang luas dalam Islam. Malu merupakan sebahagian daripada Iman. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman.”

Malu atau dalam bahasa Arabnya ‘haya’ berasal daripada perkataan ‘hayat’ yang bermaksud kehidupan. Ia mencakupi sifat malu, memelihara aib diri dan orang lain, kesopanan, harga diri dan bersikap jujur dalam menjaga dan memelihara maruah kerana Allah.

Dalam Islam, sifat malu ditekankan pada setiap umatnya tidak kira sama ada wanita atau lelaki. Namun, wanita Muslimah ditekankan aspek menjaga maruah dan memiliki sifat malu memandangkan wanita merupakan golongan yang lemah, mempunyai 9 nafsu yang pelbagai serta dikatakan paling ramai menghuni neraka.Tentang hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Aku melihat ke dalam syurga, maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita.” (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas dan Imran serta selain kedua-duanya)

Imam Qurthubi rahimahullah menjelaskan hadis di atas dengan pernyataannya:

“Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka, kecenderungan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal...”

Selain iman yang lemah, membuang sifat malu untuk mengejar apa yang diimpikan dalam hidup juga merupakan satu kesilapan besar yang menjerumuskan wanita ke kancah kehinaan. Walau bagaimanapun, sifat malu terbahagi kepada dua iaitu malu yang bersifat kebaikan dan malu yang bersifat kejahatan.

Wanita khasnya dituntut mempunyai sifat malu terutama hal yang berkaitan maksiat dan larangan-larangan Allah. Apabila menghampiri hal-hal sebegini, mereka akan berasa malu, dan seterusnya memikirkan balasan Allah di dunia dan akhirat.

Manakala malu yang bersifat kejahatan pula ialah malu melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah. Dalam hal ini mereka bukan sahaja melakukan apa yang dilarang oleh Allah, malahan melanggar sistem sosial masyarakat sehingga melupakan balasan di dunia dan akhirat.

Wanita Muslimah atau wanita yang bertamadun tidak akan menggadaikan maruah dan membuang sifat malu semata-mata mahu kelihatan moden.

Mementingkan pandangan Allah s.w.t lebih bermakna daripada mementingkan pandangan masyarakat. Tidak kisahlah jika anda dilabel sebagai tidak moden, kolot dan sebagainya. Apa yang lebih penting ialah anda tahu menjaga maruah serta tahu kesan-kesan buruk yang akan berlaku kepada iman, maruah diri, keluarga dan masyarakat jika anda bertindak tidak tahu malu.

Memelihara malu diri sendiri dan menjaga aib (malu) orang lain sangat penting dalam pembinaan bangsa yang bermaruah. Malu dikatakan perisai dan perhiasan kepada wanita dan juga lelaki yang menghalang mereka dari terjerumus kelembah kehinaan serta dosa zahir dan batin.

Rasulullah juga pernah mengatakan bahawa malu adalah karektor bagi agama Islam serta mempunyai sifat malu yang sebenar-benarnya tidak akan menyebabkan perkara yang tidak baik.

Memandangkan dunia semakin berkembang dengan segala macam teknologi dan perubahan dari semua aspek, sudah sewajarnya setiap wanita menilai kembali sifat semulajadi atau lahiriah seorang wanita yang suatu waktu dahulu cukup kebal dengan sifat pemalu.

Sifat pemalu tidak akan menyekat pergerakan wanita untuk mengikuti perkembangan dunia semasa. Malahan wanita yang pemalu lebih berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga kelak. Insya-Allah.

Sudah tiba masanya, kumpulan atau golongan yang memperjuangkan hak wanita dan dunia wanita mengubah persepsi mereka terhadap peranan dan diri wanita dalam dunia masa kini. Mengejar kejayaan, kemodenan, kesamarataan taraf, menghindar penindasan dan sebagainya harus diperjuang, tanpa mengikis sifat wanita yang hakiki iaitu pemalu.

Malu adalah lambang iman yang akan membawa seseorang ke syurga. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya” (Riwayat Bukhari)

Pemalu bukan sahaja memperlihatkan kemanisan akhlak dan ketinggian akidah seseorang wanita. Malah, memelihara diri wanita itu sendiri daripada kehinaan dan kemusnahan peribadi secara beransur-ansur. Percayalah bahawa sifat malu tidak akan menyisihkan anda dari arus globalisasi. Malah, anda akan lebih berkeyakinan serta jelas dengan tujuan anda untuk melakukan sesuatu perkara.




**********************************

http://www.yadim.com.my/Wanita/WanitaFull.asp?Id=151

Mengapa Solat Awal Waktu?


Mengapa solat awal waktu? Apakah kelebihannya?

Saudara,

Apabila azan dilaungkan maka frekuensi azan akan dirambatkan keserata tempat. Frekuensi azan ini akan menjadikan frekuensi sekitar ke tahap theta yang paling rendah (deep theta). Untuk memahami tentang frekuensi, sila rujuk artikel frekuensi yang saya jelaskan sebelum ini di sini.

Mari bersolat DI AWAL WAKTU secara BERJEMAAH

***

Saudara,

Air merupakan salah satu makhluk Allah yang mampu untuk menurunkan frekuensi gelombang otak ke alpha dengan cepat. Kerana itu apabila kita berada di dalam keadaan marah, kita diminta untuk mengambil wudhuk agar kita menjadi tenang.

Begitu juga jika anak menangis. Kita boleh sapukan dengan air sambil meminta izin pada Allah dan berkomunikasi dengan air itu sendiri. Air juga makhluk Allah dan kita meminta bantuan air sepertimana kita meminta pada manusia. Ingatlah semua benda di dunia ini adalah makhluk Allah. Milik Allah.

Juga lagi jika kita berada di dalam keadaan stress akibat kerja yang banyak atau juga stress kerana study (baik untuk mereka yang sedang membuat PhD), minumlah air yang banyak. Air boleh menenangkan stress.

Mohonlah agar diberi ketenangan daripada Allah kerana Allah adalah pemilik kepada air dan diri kita. Mohonlah juga kepada air atas hubungan sesama makhluk iaitu kita dan air.

***

Berbalik kepada solat awal waktu. Apabila azan dilaungkan maka azan tersebut mampu menurunkan frekuensi persekitaran ke tahap theta yang paling rendah (deep theta). Apabila kita mengerja solat ketika ini dan ditambah dengan adanya wudhuk, maka frekuensi fikiran kita akan mampu turun sampai ke tahap theta ataupun sekurang-kurangnya alpha yang paling bawah (deep alpha). Ketika ini pastinya menjadi mudah untuk mencapai tahap khusyuk.

Deep theta + Alpha = theta atau deep alpha

Jika kita solat di tengah atau di akhir waktu, maka tenaga frekuensi azan ini telah berkurangan dan mungkin sudah habis. Maka agak sukar sedikit untuk mencapai tahap theta tersebut.


Jika kita bersolat di masjid atau surau secara berjemaah, maka lebih kuat frekuensi thetanya kerana dari masjid dan suraulah azan dilaungkan. Sebab itu kita lebih mudah mencapai tahap khusyuk jika bersolat di masjid atau surau di awal waktu. Maha Besar Allah yang menjadikan sesuatu itu tidak ada sia-sianya.

***

Saudara,

Marilah kita berkomunikasi dengan Allah meminta agar kita sentiasa bersolat di awal waktu. Jika kita malas, atau ada lagi kerja yang ingin dilakukan, maka berkomunikasi dengan Allah dengan memohon keizinan untuk solat lewat waktu.

“Ya Allah, aku ingin buat kerja dahulu ya Allah. Aku ingin siapkan sedikit sahaja lagi kerja ini. Aku minta kebenaran padaMu ya Allah. Izinkan aku solat lewat”.

PERCAYALAH. Pengalaman saya berkomunikasi dengan Allah sedemikian rupa TIDAK akan membawa kepada apa-apa kejayaan. Hati dan jiwa saya serta tubuh saya secara automatik akan bangun dan terus mengambil wudhuk untuk mengerjakan solat. Permohonan saya untuk lewat solat sentiasa menemui KEGAGALAN.

***

Semoga Allah sentiasa melimpahkan ilmunya kepada kita semua. Ameen.

Ibadah Sepenuh Hati


1. Penyakit dan Ubatnya Ibnul Qayyim rahimahullah mengatakan, “Sesungguhnya dalam hati terdapat sebuah robekan yang tidak mungkin dapat dijahit kecuali dengan mengadap penuh kepada Allah s.w.t. Di dalamnya juga ada sebuah keterasingan yang tak mampu diubati kecuali dengan menyendiri bersama Allah. Di dalam hati juga ada sebuah kesedihan yang tidak akan mampu diseka kecuali dengan kebahagiaan yang tumbuh kerana mengenal Allah dan ketelusan berinteraksi dengan-Nya. Di dalam hati juga terdapat sebuah kegelisahan yang tidak mampu ditenangkan kecuali dengan berhimpun kerana Allah dan pergi meninggalkan kegelisahan itu menuju Allah. Di dalam hati, juga terdapat gejolak api yang tidak mampu dipadamkan kecuali oleh keredhaan akan perintah, larangan, dan keputusan Allah, yang diiringi dengan ketabahan dan kesabaran sampai tiba saat perjumpaan dengan-Nya.”

Pernahkah anda merasakan makna – makna spiritual ini sebelumnya? Di dalam hati ada robekan, keterasingan, kesedihan, kegelisahan, dan gejolak api... ada pelbagai penyakit yang ubatnya tiada lain hanyalah dengan “mengenal Allah”.


2. Pancaran Hati Berikut ini beberapa nilai spiritual yang akan dijelaskan dengan mudah oleh Ibnul Qayyim rahimahullah. Ketahuilah, setiap kali hati anda mampu menangkap makna – makna ini dengan baik, setiap kali pula hati anda akan bersinar cerah, jiwa dan batin anda pula berseri bahagia.

Ibnul Qayyim rahimahullah mengatakan, “Ketika orang lain bergantung pada dunia, gantunglah dirimu hanya kepada Allah. Ketika orang lain merasa gembira dengan dunia, jadikanlah dirimu gembira kerana Allah. Ketika orang lain merasa bahagia dengan kekasih – kekasih mereka, jadilah dirimu merasa bahagia dengan Allah. Dan ketika orang lain pergi mengadap raja - raja dan para pembesar mereka untuk mengais harta dan mencintai mereka, jadikanlah dirimu betul – betul mencintai Allah.”

Sungguh, inilah kata – kata yang muncul dari dalam sanubari dan keluar meluncur dengan kuat. Saya rasa anda sekarang masih baik – baik saja, sebab anda telah bersiap menerima kata – kata ini, dan persiapan anda juga merupakan persiapan yang kuat. seluruh perasaan dan kepekaan berhimpun dan bergejolak membuat hati bahagia. Seluruh gejala ini membentuk sebuah kenyataan alami yang indah, yang bernama “kecerahan hati”.


3. Perindu Syurga Ibnul Qayyim rahimahullah juga mengenengahkan sebuah trilogi sikap dengan begitu indah. Apabila anda membaca dan menyimpannya dengan baik di dalam hati, reaksi yang muncul akan begitu cepat tidak seperti yang anda sangkakan.

Beliau mengatakan, “Jangan pernah putus asa untuk teguh menunggu gerbang, meskipun engkau terusir. Jangan pernah berhenti untuk memohon ampunan meskipun engkau tertolak. Begitu gerbang telah terbuka, segeralah masuk selayaknya seorang tamu yang tak diundang. Kemudian, tadahlah tanganmu di gerbang dan segeralah berkata, ‘Tolonglah, saya adalah orang miskin. bersedekahlah untuk saya....!”

Saudaraku, bacalah kata – kata di atas sekali lagi, dan selamilah betul – betul maknanya. Ketahuilah, lautan ini amat dalam, dan mutiaranya terletak didasar yang paling dalam! Jangan pernah putus asa untuk teguh menunggu gerbang, meskipun anda terusir! Anda ingin menangis ketika solat tetapi anda tidak boleh. Anda ingin meraih kekhusyukan, tetapi anda tidak tahu bagaimana caranya. Jangan pernah berhenti dan berpatah harapan. Jangan pernah berhenti untuk memohon ampunan meskipun anda tertolak!

Anda pernah membuat maksiat lalu anda bertaubat dan memohon ampunan, tetapi kemudian anda kembali melakukannya. Saat begitu, jangan pernah berhenti untuk memohon ampun. Begitu gerbang telah terbuka, segeralah masuk selayaknya seorang tamu yang tak diundang!

Ada pengajian di masjid sana, pergilah bersama para jemaah, teruslah bersama orang – orang yang rajin membaca dan merenungi Al – Quran. Apakah anda pernah merasakan manisnya nilai – nilai ini sebelumnya?

Sungguh, kata – kata ini di dalam hati berubah menjadi nyawa, sehingga hati pun menjadi hidup. Demi Allah, katakan dengan jujur, bilakah kali terakhir anda merasa khusyu’ mengadap Allah? Bilakah terakhir kali anda bersujud memohon kepada Allah agar kemanisan rasa khusyu’ ini tidak pernah akan berakhir?

Saudaraku tercinta, siapkan diri anda untuk meraih nilai – nilai ini. tempatkan dan hormatilah kekhusyu’kan sebagaimana semestinya. Saya sekarang yakin dengan anda! Sebab hal seperti ini tidaklah mustahil bagi seorang “perindu syurga”.





*Ibadah Sepenuh Hati oleh Amru Khalid. Dipetik dari blog Ibnu Yahya Al almalizy.blogspot.com

Tiflun Saghir




Setelah mendapatkan beberapa buku yang aku inginkan di kedai buku Daarut Tauzi', aku menaiki bas pulang ke rumah sewaku di Hay El Asher, kawasan paling banyak didiami oleh mahasiswa dari Asia Tenggara di bumi Anbiya’ ini. Ketika bas melewati pasar Sayyeda Zainab, semakin ramai penumpang menaiki bas. Ruangan dalam bas yang sedia sempit tambah berhawa dan merimaskan. Peluh yang bergeluyutan* di dahi segera kuseka dengan tuala kecil yang sentiasa kubawa dalam poket seluar.

Sebaik sahaja sampai di rumah aku meletakkan buku-buku yang kubeli di atas meja di ruang tamu dan meluru ke dapur. Peti sejuk kuselongkar. Mujur laban* pemberian Ammu* Hassan semalam masih berbaki. Pantas kuteguk habis. Ammu Hassan seorang peniaga di kawasan tempat aku menetap. Lelaki berjanggut lebat dan berbadan gempal itu peramah amat. Sesiapa sahaja pasti menyenanginya apabila bergaul dengannya. Satu kebiasaan orang Arab yang kuperasan, mereka cukup teruja dengan orang yang berkebolehan mempercantik dan memperelokkan bacaan Quran atau dalam bahasa mudahnya orang yang punya suara yang merdu. Entah daripada siapa Ammu Hassan mengetahui aku miliki kurniaan Allah yang satu itu. Mungkin teman-teman serumahku yang mengkhabarkan kepadanya. Kebetulan, kami sendiri agak rapat dengan lelaki kelahiran Kaherah itu. Setiap kali aku berkunjung ke kedainya, dia akan meminta aku membacakan beberapa potong ayat Al-Quran. Apabila permintaannya kupenuhi, dia memberi kepadaku laban atau Tha’miyah bil Baidh* sebagai upah. Kadang–kala diberinya a’sir a’sob*.

Aku baru sahaja beberapa hari tiba di Mesir setelas pulang bercuti di tanah air. Teman-teman serumahku lain belum pulang lagi kecuali Hadi dan Khairul. Entah ke mana dua rafik*ku itu pergi. Sejak pulang tadi, kelibat mereka langsung tidak kelihatan. Aku menghenyakkan tubuh di atas katil. Lebih kurang setengah jam lagi waktu Asar akan menjelang. Cadangnya, aku mahu melelapkan mata seketika buat menghilangkan penat yang menghinggapi tubuhku. Namun, mataku tidak mahu pejam. Ingatanku melayang kembali ke kampung halaman dan singgah pada wajah kanak-kanak bermata bundar itu . Wajahnya memenuhi segenap jihat ingatanku. Ya, Tiflun Saghir itu!

~~~ @>>-----<<@ ~~~

“ Mengapa adik bersendiri di sini? Mengapa tidak bermain bersama-sama kawan–kawan lain? Mereka pulaukan adik ke? ”

Bertalu-talu aku menyoal seorang budak yang kukira berusia dalam lingkungan tujuh tahun. Dia kulihat duduk memeluk lutut sambil menekur bumi tidak jauh dari sekumpulan kanak-kanak yang sedang asyik bermain galah panjang. Bagai ada suatu tarikan mendorong aku menghampiri kanak-kanak berwajah bening itu. Aku membatalkan niat untuk berjalan-jalan di persisiran pantai sebaliknya melabuhkan punggung tidak jauh darinya. Tidak semena-mena, butiran-butiran jernih menitis di pipi munggilnya. Aku kaget.

“ Mengapa ni? ”

Tangisannya kian lebat. Aku mengusap lembut belakang tubuhnya dalam usaha memujuk.

“ Abang, Adi takut, ” sedu sedan kedengaran di hujung suaranya.

“ Apa yang kamu takutkan? ” lurah-lurah halus terukir di dahiku. Rasa bertembung dua keningku bagai bersatu.

“ Adi teringatkan firman Allah kepada orang-orang beriman supaya menjaga diri dan ahli keluarga mereka daripada bahang neraka. Adi takut dibakar dalam neraka,” aku terlopong. Mataku sedikit terbelalak. Atma*ku diserbu mancarasa. Kagum bersulam gerun.

“ Sudah jangan menangis lagi. Kamu masih kanak-kanak. Masih belum akil baligh. Allah tidak akan menghumban kamu ke dalam neraka,” sambil mengesat air matanya, budak yang membahasakan dirinya Adi itu mendongakkan kepala memandang tepat ke wajahku. Fikirku, dia telah berjaya kupujuk.

“ Abang pernah melihat orang hidupkan unggun api? Yang pertama sekali mereka akan letak ialah ranting-ranting kayu yang kecil . Setelah api marak, barulah kayu-kayu atau dahan yang lebih besar dicampakkan. Sudah tentu kanak-kanak seperti Adi dahulu dihumban dalam neraka sebelum dibakar orang dewasa.”

Subhanallah! Berkali-kali kalimah itu mercup* di tubir bibirku. Aku tidak menjangkakan kanak-kanak sepertinya mampu berfikir sejauh itu. Aku terpempan. Dengan esakan masih berbaki di hujung suara budak itu mohon diri pulang ke rumah meninggalkan aku dalam keadaan teruja.

Melalui beberapa kenalan, aku mendapat tahu Adi telah menghafal 30 juzuk Al-Quran. Malah mereka turut mendakwa Adi boleh bercakap dalam beberapa bahasa yang pelik sehingga dia dianggap sebagai budak ajaib. Pernah suatu ketika, Adi berkejar ke pantai menghalang para nelayan turun ke laut. Katanya laut bakal bergelora dan angin bakal menggila sedang ketika itu bukan musim tengkujuh. Amarannya dipandang sebagai gurauan anak kecil. Akhirnya, perkara yang dikhabarkan Adi benar-benar berlaku. Kumpulan nelayan yang turun ke laut terperangkap dalam ribut yang entah datang dari mana. Alhamdulillah , mujur tiada yang terkorban.

“ Adi mahu jadi apa bila besar nanti? ”

Aku mengecilkan langkah kaki. Kasihan pula aku melihat Adi terpaksa berlari-lari anak mengejar langkahku. Angin petang berpuput mesra. Aroma air laut menerawang menerobosi indera bauku.

“ Adi mahu cipta satu satelit yang nenggunakan Al-Quran sebagai kata laluan. Nanti umat Islam dari seluruh dunia dapat berhubung sekaligus bersatu kembali. Setelah umat Islam bersatu, tiada sesiapa lagi yang berani memperlekehkan umat Islam. Malah, saat itu kita dapat mengulangi sejarah kegemilangan tamadun Islam yang pernah kita kecap sebelum jatuhnya empayar agung Utmaniyyah pada tahun 1924. Salahuddin al-Ayubbi ke-2 akan muncul untuk membebaskan kota suci Baitulmaqdis dan Adi berharap Adilah Salahduddin itu,” bicara Adi petah.

Rasa kagumku kepada anak kecil ini kian menebal. Aku yang menyandang gelaran mahasisiwa Al-Azhar ini pun tidak pernah menyimpan visi dan misi hidup seperti Adi. Aku malu sendiri. Adi mengingatkan aku pada suatu kisah yang berlaku kepada Amirul Mukminin, Umar Abdul Aziz. Sewaktu awal pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, telah datang berbagai-bagai rombongan dari seluruh pelusuk negara untuk menyatakan taat setia kepadanya. Satu rombongan dari Hijaz tiba, dan seorang kanak-kanak yang baru berusia 11 tahun tampil ke hadapan untuk bercakap. Umar Abdul Aziz meminta kanak-kanak itu berundur dan memberi laluan kepada orang yang lebih dewasa untuk berbicara.

Budak itu menjawab sopan dengan berani. “Semoga Allah kekalkan pemerintahan Amirul Mukminin! Sebenarnya manusia itu dinilai dengan dua yang paling kecil pada dirinya, iaitu hati dan lidahnya. Jika Allah mengurniakan padanya lidah yang petah, hati yang kuat ingatan, maka sudah tentulah dia yang berhak bercakap. Wahai Amirul Mukminin, sekiranya semua perkara diukur dengan umur, nescaya di kalangan umat ini ada orang yang lebih berhak daripadamu untuk memegang jawatan Khalifah. ”

Umar Abdul Aziz tergamam dengan jawapan anak kecil itu sebagaimana aku terpana mendengar kasad* murni Adi.

“ Mak cik, Pak Cik, Adi anugerah Allah yang istimewa. MaK Cik dan Pak Cik harus membantu Adi mengembangkan bakat yang dimiliki. Mungkin Pak Cik dan Mak Cik boleh bawa Adi ke ibu negara untuk mencari satu program yang boleh menyokong tahap perkembangan otaknya.”

Berkerut-kerut wajah kedua-dua orang tua Adi. Aku tahu mereka tidak begitu mengerti maksudku. Aku tidak mengalah. Cutiku yang berbaki kuhabiskan ke sana ke mari untuk membantu Adi menempatkan diri di institusi yang layak untuk dirinya. Aku rasa bertanggungjawab membantu Adi. Anak kecil luar biasa sepertinya perlu ditatang dan dijaga rapi. Jika umat Islam sendiri tidak menghargainya, dikhuatiri nanti pihak Barat yang mengambil peluang mendidik anak-anak genius ini untuk menjahanamkan Islam. Siapa yang tidak kenal dengan Sukarno, antara pemidato terhebat dunia. Sukarno, dengan idea NASAKOMnya adalah anak genius Islam yang berjaya dilatih oleh Belanda untuk menghancurkan Islam. Begitu juga yang terjadi kepada Babrak Karmal, anak didik Rusia. Di bidang penulisan pula, musuh-musuh Islam telah dapat menyiapkan Hussien Heikal dan Naquib Mahfouz sebagai pedang untuk menikam Islam melalui mata pena. Aku tidak mahu Adi menerima nasib yang serupa dengan mereka. Adi antara benih berharga dalam rangka menjana kebangkitan Islam kali kedua. Kebangkitan Islam di zaman Rasulullah SAW dahulu juga didokong oleh mukmin yang genius seperti Zaid bin Tsabit, Abu Hurairah, Abdul Rahman bin Auf, Salman Al Farisi, Umar Al-Khattab dan Ali bin Abi Thalib.

“ Bila abang akan balik ke kampung lagi? ”

Sehari sebelum aku berangkat meninggalkan tanah air, Adi datang menemuiku.

“ Entahlah Adi. Abang tak berani janji bila abang akan pulang lagi. Mungkin dua tahun lagi. Mungkin selepas tamat mengaji.”

“ Abang, Adi berpesan buat diri abang dan diri Adi sendiri dengan wasiat yang diberikan oleh Sayyid Qutb kepada adiknya, Aminah Qutb. Abang, apabila kita hidup hanya untuk diri kita, maka hidup kita amatlah singkat. Bermula dengan bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas ini. Tetapi, jika kita hidup kerana fikrah untuk menegakkan Deenul Islam di atas muka bumi ini, sesungguhnya hidup kita akan lebih panjang dan bermakna. Bermula dengan bermulanya manusia dan berakhir dengan pupusnya manusia di atas muka bumi Allah ini.”

Empangan air mata yang kutahan akhirnya pecah jua mendengar nasihat Adi, anak kecil yang lebih sedekad muda dariku. Aku peluk tubuh Adi kejap.

~~~ @>>-----<<@ ~~~

“ Saif, mahu a’sir a’sob tak? ”

Kepala Khairul tersembul di muka pintu. Serta merta kenangan bersama Adi pecah berkecai dan tenggelam bersama gelengan kepalaku. Aku kelih* jam di dinding. Tidak lama lagi azan Asar akan berkumandang. Selepas solat aku mahu segera bersiap menuju ke Masjid Uthman Ibn Affan di Heliopolis. Malam ini akan diadakan kuliah Syeikh Yusuf Al-Qardhawi di Darul Munasabat masjid itu. Dalam hati , aku berdoa Adi akan berjaya menggapai cita-citanya. Sungguh, Adi adalah anugerah Allah buat umat Islam dan aku bersyukur kerana Allah pertemukan aku dengan Tiflun Saghir itu.



Artikel ini diambil daripada nukilan blog Siti Munirah bt Abdul Rashid di
http://www.qamarmuneera.blogspot.com


Nukilan editor : Isu kegelisahan akan kemampuan sistem pendidikan di Malaysia dan sistem upaya masyarakat Malaysia menampung keberadaan kanak-kanak genius seperti watak Adi di atas juga turut dicoretkan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di blognya yang boleh dicapai di sini


GLOSARI
Bahasa Melayu
Bergeluyutan - turun/memercik
Atma - hati
Mercup - terucap
Kasad - niat
Kelih - tengok
Bahasa Arab
Laban - susu
Ammu - pak cik
Tha’miyah bil Baidh - masakan khas mesir berbentuk sandwich isinya antara lain sayur, kentang goreng, telur rebus yang dihancurkan dan campuran kacang hijau
A’sir a’sob - jus tebu
Tiflun saghir - anak kecil/kanak-kanak
Rafik - teman/kawan

Al-Quran Pencetus Manusia Berfikiran Kritis

Al-Quran merupakan sumber segala ilmu pengetahuan. Hal terbaik yang dapat diminta daripada kitab suci ini ialah dorongannya kepada manusia supaya berfikir. Di dalam al-Quran tidak terdapat suatu hukum yang bersifat melumpuhkan akal manusia untuk memikirkan kandungn maknanya dan tiada sesuatu perkara pun yang merintangi akal untuk mencari pelbagai ilmu yang bersifat luas. Maksudnya, al-Furqan tidak melarang mereka mencari ilmu dan berfikir, asalkan masih dalam ruang lingkup kebenaran seperti kata ungkapan ‘buat apa sahaja selagi benar’, bahkan al-Quran menggesa manusia berfikir dan mencari ilmu pengetahuan. Ia menjamin cara berfikir yang sihat dan pandangan yang benar terhadap tanda-tanda kekuasaan Allah SWT yang diciptakanNya sebagai saranan kepada manusia agar beriman kepadaNya. Berfikir adalah suatu perkara yang amat diperlukan bagi memahami semua bentuk peringatan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu" (Surah Saba’: 46)


Apabila kita memerhatikan al-Quran dengan tinjauan untuk menyelidik, kita akan dapati bahawa sesungguhnya ia mengarahkan akal manusia untuk mempergunakan kaedah yang lengkap dalam mencari hakikat. Antara ayat-ayat al-Quran yang berkisar tentang pemikiran kritis adalah:

1)
(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? (Surah al-Ghasiyah: 17)


Kata soal ‘kaifa’ (bagaimana) itu menghendaki sebuah kajian dan cara untuk mengetahui hakikat sesuatu perkara. Allah SWT tidak memberi jawapan secara terang-terangan agar manusia itu bukan sekadar mengetahui sesuatu bahkan juga mengetahui bagaimana sesuatu perkara itu terjadi supaya manusia benar-benar mengenali dan meyakini sesuatu hal berlandaskan ilmu pengetahuan tentang apa yang telah diketahuinya. Dalam ayat di atas, al-Quran telah memusatkan perhatian kita sebentar tentang kejadian unta yang merupakan haiwan terdapat khususnya di negara-negara Arab sehingga pengkajiannya tidak memerlukan sesuatu objek yang sukar untuk dicari. Kita pasti akan berfikir dan mengkaji bagaimana unta dicipta berdasarkan firman Allah SWT tersebut. Hasilnya kita akan dapati bahawa istimewanya unta adalah mampu hidup selama beberapa hari tanpa air dan masih aktif di bawah terik mentari. Bonggol unta yang merupakan gumpalan lemak berfugsi menyediakan nutrient berkhasiat secara berkala semasa musim kekurangan dan kebuluran. Melalui sistem ini, ia mampu hidup selama tiga minggu tanpa setitis air ketika mengalami penyusutan 33% berat badan. Lantas, orang yang mahu berfikir akan memikirkan lagi siapakah pencipta unta yang mempunyai ciri sehebat begitu. Manusia sama sekali tidak pernah menjadikannya dan tentu sekali ia tidak terjadi dengan sendirinya. Maka, sudah pastilah pembuatnya tidak lain dan tidak bukan ialah Allah SWT Yang Maha Berkuasa. 




2)
"Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan". (Surah al-Hujurat: 6)


Fokus utama perbahasan adalah pada ayat yang bermaksud “maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya”, di mana al-Quran mengajar manusia agar meneliti sesuatu maklumat yang diterima samada benar atau sebaliknya dan bukannya menerima bulat-bulat sesuatu perkara tanpa membuat penilaian terlebih dahulu. Penelitian dan penilaian terhadap sesuatu maklumat ini amat penting agar kita tidak tersalah dalam berfikir, bertindak dan membuat keputusan lebih-lebih lagi ia melibatkan orang lain yang akan membawa akibat yang lebih besar dan buruk seperti penganiayaan, kezaliman dan fitnah. Penurunan ayat ini juga adalah sebagai peringatan kepada orang Islam agar tidak menerima keterangan hanya daripada sebelah pihak sahaja.

3)
"Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta". (Surah al-An’am: 116)


Ayat ini mendidik manusia supaya bersikap konsisten pada kebenaran. Ia menyatakan bilangan majoriti samada pada pendapat, kepercayaan dan sebagainya tidak menjamin kebenaran sesuatu perkara. Oleh itu, apabila telah dikaji dan diketahui kebenaran sesuatu hal, maka hendaklah berpegang teguh kepada keputusan yang telah dibuat dan jangan goyah dengan sebarang kekeliruan yang cuba ditimbulkan. Daripada ayat ini juga, ia mengajar manusia agar berfikir sendiri tanpa mengikut-ikut pendirian orang lain. 

4)
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan". (Surah al-Ma’idah: 8)


Ayat ini membicarakan kepentingan berfikir secara objektif dan tidak bias, iaitu adil. Keadilan hendaklah ditegakkan di mana sahaja tanpa mengira tempat, bangsa dan agama, samada kepada orang yang kita sukai atau pun tidak. Allah SWT juga melarang kita bersikap berat sebelah kerana kebencian kita terhadap seseorang atau sesuatu golongan, bahkan al-Quran sentiasa menggesa umat Islam berlaku adil baik kepada kawan mahu pun lawan kerana keadilan itu akan mendekatkan diri seseorang kepada taqwa. Oleh itu, Allah SWT sangat memurkai orang yang tidak adil.

5)
"Dan janganlah Engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya…" (Surah al-Isra’: 36)


Ayat ini menolak sikap taqlid sebaliknya Allah SWT mengajar manusia agar berfikran terbuka, bukannya mengongkong fikiran dalam kejahilan dan hanya mengikut-ikut pandangan dan pendirian orang lain secara membuta tuli. Oleh itu, Dia mendorong manusia mencari ilmu dalam pelbagai bidang agar mampu memerhatikan kebenaran yang ada pada sesuatu kejadian lantas akan dapat memberi respon dan hujah dengan baik dan mantap dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan yang diceburi.

Kesimpulannya, kesemua ayat di atas membahaskan kepentingan penggunaan akal dengan betul. Daripada ayat-ayat tersebut, Allah SWT menuntut manusia agar mengkaji hakikat sesuatu kejadian bagi memantapkan lagi pengetahuan dan keimanan kepadaNya tetapi bukannya mengetahui sesuatu hal hanya melalui mulut orang lain dan mempercayai sesuatu bukan berdasarkan ilmu. Al-Quran juga mengajar manusia agar sentiasa berhati-hati dalam menerima sesuatu maklumat di mana keperluan kepada penyelidikan dan penelitian amatlah mustahak sebelum menerimanya. Selain itu, ia juga menyarankan manusia supaya bersikap konsisten dalam mempertahankan kebenaran walaupun pada masa itu pelbagai dugaan yang datang.

Seterusnya, al-Kitab amat menitikberatkan sifat adil yang perlu diamalkan dalam semua keadaan, tempat dan setiap masa. Dalam pada itu, ia amat menentang keras sikap bertaqlid buta kerana manusia telah dikurniakan akal oleh Allah SWT yang digunakan untuk berfikir sekaligus al-Furqan menitikberatkan kepentingan ilmu kepada manusia kerana kejahilan akan mendekatkan seseorang kepada kekufuran.

Justeru, melalui huraian elemen-elemen pemikiran kritis di atas, terbuktilah bahawa al-Quran itu adalah pencetus kepada manusia berfikiran kritis. Dalam pada itu, al-Quran bukan setakat membawakan lima contoh firman Allah SWT sahaja seperti yang telah dikemukakan di atas yang menggesa umatNya berfikiran kritis, malah terdapat banyak lagi ayat-ayat yang menyarankan agar kita berbuat demikian. Kuncinya di sini ialah sikap kita. Sesiapa yang rajin mencari dan mengkaji sesuatu maklumat, pasti dia akan beroleh pengetahuan dan pengalaman baru. Begitulah sebaliknya bagi mereka yang malas menyelidiki dan meneliti kejadian-kejadian alam yang menjadi salah satu tanda kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Bukankah ilmu itu wajib dituntut oleh setiap insan yang bergelar Muslim?






Sumber: Suhaida Talib (2008). Pandangan al-Ghazali mengenai Konsep Taqlid dalam Kitab al-Munqidh min al-Dhalal. Latihan Ilmiah. Kuala Lumpur: Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Mengapa Muslim Biarkan Hati Mati

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan adalah nikmat paling agung yang diberikan oleh Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang. Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.


Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat. Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu. Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud:

"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam."
(Hadis riwayat Ibn Majah)


Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud:

"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan."
(Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)


Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

"Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Baqarah ayat 74)


Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah. Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:

Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah. Allah berfirman bermaksud:

"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata."
(Surah al-Zumar ayat 22)


Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri. Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir). Firman Allah bermaksud:

"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia."
(Surah al-Ra'd ayat
28)


Firman-Nya lagi bermaksud:

"Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik."
(Surah al-Syura ayat 88-89)


Tanda-tanda hati mati Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

  • Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
  • Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
  • Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
  • Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
  • Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
  • Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
  • Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
  • Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
  • Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
  • Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT. Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya; Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu :

  • Hubbul dunia (kasihkan dunia)
  • Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
  • Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.
Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu :

  • Zuhud dengan dunia
  • Zikrullah
  • Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah